12:35 PM
0
Rampasan kitab Injil serta ancaman berterusan terhadap mereka yang memperjuangkan penggunaan kalimah Allah dilihat sebagai serangan agresif terhadap moral dan masyarakat Malaysia yang berbilang budaya. – Gambar fail.

Sementara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) terus mengatakan kalimah Arab Allah eksklusif untuk umat Islam dalam khutbah Jumaat semalam, sebuah gereja di Amerika Syarikat (AS) menyertai kritikan antarabangsa dalam isu ini yang merupakan 'keunikan Malaysia'.‎
Dalam sepucuk surat Gereja Evangelical Lutheran di Amerika (ELCA) kepada Persekutuan Gereja Malaysia (CCM), mereka mengatakan dalam komuniti Kristian di negara Islam di mana perkataan Arab mempengaruhi bahasa tempatan, Tuhan sememangnya dirujuk sebagai Allah.
"Ini bukan semata-mata kepercayaan, tetapi realiti sejarah dan bahasa.
"Dengan sedihnya kami terus menyaksikan beban yang anda tanggung di Malaysia berhubung penggunaan kalimah Allah," kata Uskup Elizabeth Eaton, dalam suratnya bertarikh 5 Februari yang dilihat The Malaysian Insider.
Surat tersebut juga mengatakan rampasan kitab Injil berbahasa Melayu dan Iban pada bulan lepas menyebabkan "masalah unik penganut Kristian di Malaysia kembali menjadi perhatian."
"Apa yang paling membimbangkan dalam insiden ini ialah bagaimana ianya bercanggah dengan Perlembagaan Malaysia, di mana Artikel 11 menjamin kebebasan untuk beragama."
Eaton juga mengatakan‎ rampasan kitab Injil serta ancaman berterusan terhadap mereka yang memperjuangkan penggunaan kalimah Allah merupakan serangan agresif secara terang-terangan terhadap moral dan masyarakat Malaysia yang berbilang budaya.
"Kami berdoa kerajaan Malaysia akan terus memastikan hak komuniti Kristian di bawah Perlembagaan Persekutuan tidak dicabul.
"Gereja Evangelical Lutheran di Amerika menyokong komuniti Kristian di Malaysia dan semua rakyat Malaysia yang mempertahankan keadilan, kebebasan beragama dan kebebasan bersuara," katanya.
ECLA merupakan gabungan tiga gereja Lutheran pada tahun 1988.
Tiga gereja tersebut adalah Gereja Lutheran Amerika, Gabungan Gereja Evangelical Lutheran dan Gereja Lutheran di Amerika.
Kini selepas 25 tahun, ECLA mempunyai lebih empat juta ahli.
Badan hak asasi manusia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut memberi pandangan mengenai isu Allah di Malaysia apabila Pelopor Khas Kebebasan Beragama dan Kepercayaan, Heiner Bielefeldt menggesa kerajaan Malaysia menarik kembali keputusan melarang akhbar mingguan Katolik Herald daripada menggunakan perkataan itu.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Geneva, Switzerland tahun lalu, Bielefeldt mengatakan larangan tersebut memberikan implikasi kepada agama minoriti di Malaysia.
"Kebebasan beragama atau kepercayaan merupakan hak manusia dan bukannya hak negara," katanya.
Pakar isu minoriti PBB, Rita Izsak dan Pelopor Khas PBB untuk kebebasan bersuara, Frank La Rue, kedua-dua mempunyai pandangan yang sama dengan Bielefeldt. – 8 Februari, 2014.

Link SINI

0 comments:

Post a Comment