Malaysia merupakan sebuah negara sekular
dan bukan Islam. Oleh itu, negara ini tidak perlu mematuhi mana-mana titah
dikeluarkan pemerintah negeri atau fatwa dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan,
kata pakar Perlembagaan.
Sultan Kedah yang kini
merupakan Yang Di-Pertuan Agong semalam memetik keputusan Majlis Fatwa
Kebangsaan pada 1986 – mengatakan sesetengah perkataan termasuk kalimah Allah
hanya eksklusif kepada umat Islam, menimbulkan kebimbangan kepada bukan Islam
berhubung hak beragama seperti dijamin Perjanjian Malaysia 1963.
“Titah dan fatwa tidak boleh
digunakan kepada bukan Islam kerana ia melanggar hak perundangan dan beragama
mereka,” kata peguam Edmund Bon (gambar) kepada The Malaysian Insider, memetik
kes pada 2009.
“Bukan Islam tidak boleh didakwa di Mahkamah Syariah. Jadi mana-mana fatwa
daripada Majlis Fatwa Kebangsaan tidak terpakai kepada bukan Islam,” katanya
dan menambah fatwa hanya terpakai kepada umat Islam seperti diputuskan dalam
kes Mahkamah Persekutuan pada 2009 yang diputuskan oleh tiga hakim dalam kes
Sulaiman Takrib lawan Kerajaan Negeri Terengganu; Kerajaan Malaysia (pencelah)
& Kes Lain.
Panel hakim pada ketika itu
terdiri daripada Hakim Besar Malaya pada ketika ini Tan Sri Zulkefli Ahmad
Makinudin, bekas Ketua Hakim Negara Tun Zaki Azmi dan Tun Abdul Hamid Mohamad
yang membuat penghakiman terakhirnya. Antaranya, fatwa hanya terpakai kepada
penganut agama Islam.
Pengasas Lawyers for Liberty
Eric Paulsen juga mengatakan tidak ada apa yang boleh dilakukan oleh
penguatkuasa agama terhadap bukan Islam.
“Apa-apa titah dikeluarkan,
sama ada daripada Sultan atau Yang di-Pertuan Agong, tidak terpakai kepada
bukan Islam,” kata Paulsen.
“Walaupun Jabatan Kemajuan
Islam Malaysia (Jakim) atau Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengeluarkan
perintah, ia tidak memberi kesan kepada bukan Islam.”
Beliau mengatakan terdapat
beberapa kes mahkamah dengan jelas menunjukkan Malaysia merupakan sebuah negara
sekular.
“Islam bukanlah faktor utama
yang boleh menafikan hak asasi rakyat Malaysia seperti dijamin Perlembagaan
Persekutuan,” kata Paulsen.
“Rakyat Malaysia dijamin
kebebasan bersuara, berekspresi dan beragama. Semua ini jelas ditulis dalam
Perlembagaan Persekutuan.”
Beliau memberikan komen selepas
Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah mengatakan sensitiviti agama dan status Islam
sebagai agama rasmi negara harus dihormati.
“Titah Agong merupakan nasihat.
Bagaimanapun, ia tidak membantu kerana apa yang diperlukan untuk menyelesaikan
isu ‘Allah’ adalah perundingan di antara pihak berkepentingan,” kata Paulsen.
Beliau juga mengatakan,
Raja-raja Melayu, Barisan Nasional, Pakatan Rakyat dan pemimpin Kristian harus
duduk bersama bagi menyelesaikan isu ini secara aman.
Semua pihak berkepentingan
harus membuang prejudis dan berbincang untuk menyelesaikan isu ini, kata peguam
tersebut.
Pakar Perlembagaan Dr Abdul
Aziz Bari juga berkata Majlis Fatwa Kebangsaan tidak mempunyai kuasa
undang-undang dalam perkara berkaitan Islam kerana perkara itu merupakan urusan
kerajaan negeri.
“Perkara berkaitan agama Islam
urusan negeri-negeri, dan Majlis Fatwa Kebangsaan tidak mempunyai status di
sisi Perlembagaan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
“Pembahagian kuasa
persekutuan-negeri yang meletakkan Islam di tangan negeri-negeri dikekalkan oleh
Perlembagaan Persekutuan."
Sehubungan itu, beliau
menegaskan, apa sahaja pandangan Majlis Fatwa Kebangsaan tentang serbuan
Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) terhadap Pertubuhan Bible Malaysia pada 2
Januari tidak memberi kesan, sama ada kepada umat Islam atau bukan Islam.
Kenyataan Sultan semalam
dibacakan ketika berlaku ketegangan di antara umat Islam dan penganut Kristian
berhubung penggunaan kalimah Alla oleh penganut Kristian yang menggunakan
bahasa Melayu di Malaysia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri
Datuk Nancy Shukri menegaskan pada hujung minggu lalu, Putrajaya tetap
memberikan komitmen terhada penyelesaian 10 perkara ditandatangani dengan Sabah
dan Sarawak yang membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah Allah dalam
Bible bahasa Melayu.
Penyelesaian 10-perkara itu
diumumkan pada April 2011 untuk menyelesaian isu berhubung penggunaan kalimah
Allah dalam Bible berbahasa Melayu oleh majoriti penganut Kristian di Malaysia
Timur.
Dalam perjanjian tersebut yang
diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala
mengatakan Bible dalam semua bahasa boleh dicetak atau diimport masuk ke dalam
negara.– 20 Januari, 2014.
Sumber:
0 comments:
Post a Comment